Tuesday 20 December 2011

Teori Kedatangan Islam ke Asia Tenggara

1.0 Pengenalan
Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan oleh para sarjana berkaitan dengan kedatangan Islam di Asia Tenggara. Antara yang biasa diperkatakan ialah teori Islam datang daripada Arab, India, China dan terdapat juga teori dari Persia.[1] Walau bagaimanapun perkara  yang ingin dikupas dalam penulisan ini adalah berkaitan dengan teori kedatangan Islam dari India yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana Barat antaranya ialah  Pijnappel, Christian Snouck Hurgronje dan J.P Mouqette. Teori Islam datang dari India ini dikemukakan dan dipersetujui oleh mereka tetapi teori ini masih boleh dinilai kesahihannya berikutan kelemahan hujah dan bukti yang boleh dipertikaikan. Selanjutnya, kelemahan yang terdapat pada teori berkenaan akan dibuktikan oleh teori kedatangan Islam dari Arab berdasarkan bukti-bukti nyata yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan S.Q Fatimi.
2.0 Teori Islam datang dari India oleh Pijnappel
Pijnappel merupakan tokoh pertama yang mengemukakan Islam datang dari India iaitu dari sebuah tempat yang dinamakan sebagai Gujerat.[2] Pijnappel mengatakan sedemikian berdasarkan pandangan beliau bahawa Islam tidak datang terus dari Arab sebaliknya datang ke Kepulauan Melayu melalui Gujerat dan Malabar.[3] Kenyataan ini disokong dengan hujah  Marrison, iaitu wujudnya penduduk Islam di pantai timur Sumatera dan timur laut Jawa disebabkan aktiviti-aktivi yang dijalankan oleh ulama-pedagang Gujerat yang mempunyai hubungannya dengan perdagangan antarabangsa antara India dengan Kepulauan Asia Tenggara.[4] Disamping itu, Harrison juga mengakui bahawa Islam datang ke Asia Tenggara adalah dari India, Parsi atau Arab kerana Asia Tenggara sentiasa melihat India sebagai inspirasi budaya yang disatukan dengan penghomatan komersial. Seterusnya beliau mengeluarkan hujah bahawa Islam berkembang dari Gujerat dengan inisiatif komuniti di pelabuhan Cambay. Walau bagaimanapun, menurut Marrison pula, disebabkan Gujerat tidak diislamkan sehingga tahun 1279,[5] maka Islam dibawa oleh pedagang-pedagang dari pantai Koromandel.[6]
Teori ini turut didukung oleh Cristian Snouck Hurgronje. Dalam hujahnya, beliau menerima teori Pijnappel yang mengatakan bahawa Islam datang ke Alam Melayu dari India, ditambah lagi dengan hujah sendiri bahawa Islam dibawa secara khusus dari India Selatan.[7] Snouck Hurgronje juga telah mengemukakan teori bahawa Islam yang datang ke Asia Tenggara telah dibawa oleh masyarakat India dari daerah Deccan.[8] Hal ini kerana terdapatnya persamaan tentang kefahaman Safi’iyah (mazhab syafi’e) di Pantai Coromandel dan Asia Tenggara.[9] Menurut beliau, Islam yang datang dari Deccan ini telah sampai ke Asia Tenggara ini pada abad ke-12. Teori ini diperkuat oleh J. P. Mouquette yang berdasarkan penemuan arkeologi iaitu batu nisan Sultan Malik As-Salih yang meninggal pada 696H bersamaan 1297M di Gampong Samudera, Lhokseumawe.[10] Menurut Hurgronje lagi, masyarakat Arab yang bergelar sayyid dan sharif hadir ke Asia Tenggara selepas masyarakat pedagang dari Deccan. Golongan ini mengembangkan lagi Islam yang sedia ada yang telah di bawa dari India.[11]
            Teori C. Snouck Hugronje ini telah diragui kerana terdapat perselisihan dengan kenyataan Thomas W. Arnold.[12] Biarpun Arnold mengatakan bahawa Islam sememangnya datang dari kawasan Pantai Coromandel dan Malabar yang dibawa oleh pedagang muslim, namun ia tidak hanya datang dari kawasan tersebut. Hal ini kerana Islam juga datang secara terus yang dibawa oleh orang Arab pada abad ke-7.[13] Para pedagang ini aktif dalam perdagangan Timur- Barat sejak awal abad ke-7M.[14] Pendapat Arnold ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Crawfurd yang mengatakan bahawa Islam dikenalkan dalam masyarakat Asia Tenggara adalah secara langsung dari Tanah Arab.[15] Tambahan pula, Yaman merupakan negeri Arab yang penting dalam sejarah perdagangan disamping Makkah yang menguasai perdagangan darat.[16] Barang dagangan dari Yaman dan Makkah ini telah dibawa ke Asia Tenggara untuk diperdagangkan. Hal ini membolehkan Islam secara tidak langsung dibawa ke Asia Tenggara oleh pedagang-pedagang Arab ini. Selain itu, para pedagang Timur-Barat yang terdiri daripada Cina dan India termasuk Asia Tenggara juga kebanyakannya akan berkumpul di sana untuk aktiviti perdagangan.[17] Hal ini menyebabkan dakwah Islam tersebar dalam kalangan pedagang sekaligus membolehkan Islam tersebar ke Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang ini.
            Teori Pijnappel yang telah dikemukakan kemudiannya disokong oleh J.P Moquette pada tahun 1912.[18] Mouqette telah menemui nisan yang bertarikh 1428M (831H) di Pasai. Beliau mendapati bahawa batu nisan ini mempunyai persamaan dengan keadaan batu nisan yang dijumpai di makam Maulana Malik Ibrahim[19] bertarikh 1419M di Grisik. Berdasarkan penemuan ini, Moquette membuat kesimpulan bahawa Islam yang disebarkan di Nusantara adalah berasal dari India berikutan batu nisan yang ditemui di kedua-dua tempat ini adalah sama dengan batu nisan yang ditemui di Cambay dan Gujerat.[20]Pendapat ini disokong oleh beberapa orang sarjana Barat yang turut mengkaji proses pengislaman masyarakat Nusantara seperti R.A Kern, B. Schrieke, G.H. Bousquet, B.H.M Vlekke, J.Gonda, T.W. Arnold, R.O.Winstedt dan Brian Harrison menemui kesimpulan yang sama iaitu Islam yang diperkenalkan di Kepulauan Melayu adalah datang dari India.[21]
            Teori yang mengatakan bahawa Islam yang disebarkan di Asia Tenggara adalah dari India telah diterima pakai sebagai fakta oleh orientalis dan sarjana Barat. Kenyataan ini turut disokong oleh G.E Marrison yang membuat kajian tentang pengenalan Islam ke Samudera-Pasai dan membuat kesimpulan bahawa sememangnya Islam yang diperkenalkan di kawasan ini adalah berasal dari India. Hujah beliau dikukuhkan melalui fakta kewujudan hubungan yang erat antara rantau ini dengan India sejak zaman pra-Islam lagi. Ditambah dengan kajiannya terhadap Hikayat Raja-Raja Pasai meyakinkan lagi Marrison bahawa Islam dibawa dari India berdasarkan unsur-unsur yang berlatarbelakangkan India Selatan di Pasai.[22]
Marrison juga merujuk kepada orang-orang Moplah iaitu bangsa yang terdapat di India yang mengakui bahawa keturunan mereka adalah imigran Muslim dari Iraq yang berhijrah ke India kerana kejahatan al-Hajjaj menjelang akhir abad ke-7.[23] Penghijrahan mereka ke India ini boleh dianalisis untuk menyatakan bahawa kemungkinan besar akan wujud petempatan komuniti ini di India, menyebarkan dakwah Islam dan akhirnya masyarakat Arab yang telah berasimilasi dengan penduduk tempatan keluar dari kawasan India untuk berdakwah. Kawasan pilihan mereka adalah Asia Tenggara berikutan kedudukan Asia Tengggara yang berdekatan dengan benua India.
            Seorang lagi sarjana Barat yang menyokong kenyataan Moquette, iaitu R.O Winstedt. Walaupun beliau sedar akan kebenaran bahawa orang Arab telah memainkan peranan penting dalam proses mengislamkan masyarakat di Kepulauan Melayu, namun hakikat ini disangkal kebenarannya dengan menyatakan bahawa masyarakat Asia Tenggara khususnya orang Melayu tidak ghairah untuk menerima Islam yang dibawa oleh pendakwah Arab. Hal ini berikutan kerana, beliau mendapati di dalam buku Sejarah Melayu jelas menyatakan bahawa pendakwah Arab sukar menyebarkan agama Islam di Melaka.[24] Bukti ini dikukuhkan lagi dengan peristiwa Makdum Sadar Jahan yang datang dari Jeddah dan mengajar Tun Mat Ulat Bulu atau nama asalnya Tun Muyiddin, anak kepada Tun Zainal Abidin.[25] Dengan bersandarkan hujah yang remeh sedemikian, Winstedt seolah-olah ingin menyampaikan bahawa proses pengislaman orang Melayu berlaku dalam suasana yang tidak harmoni dan seakan-akan suatu paksaan pendakwah terhadap madhu’.
3.0 Kelemahan Teori Islam datang dari India
Walaupun sarjana dan orientalis Barat berpegang dengan pandangan mereka bahawa Islam datang ke Nusantara adalah atas ‘tugas’ orang India, namun sejarawan serta sarjana Muslim dan tempatan seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dan S.Q Fatimi juga mempunyai pendapat dan bukti tersendiri untuk menolak dakwaan dan kenyataan serta hujah-hujah Barat dengan mengatakan bahawa Islam datang ke Nusantara adalah dibawa oleh orang Arab. Teori bahawa Islam dibawa secara langsung oleh orang Arab ke Kepulauan Melayu dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam in the Malay Culture and History.[26] Beliau menjelaskan bahawa fakta-fakta yang menjadi dasar kepada teori yang pertama dan kedua[27] hanya merupakan faktor ‘luaran’ atau dengan perkataan lain boleh dikategorikan sebagai faktor yang dangkal dan boleh dipersoalkan.
Pertama, pendakwah-pendakwah lama Islam di daerah Asia Tenggara terdiri daripada orang Arab berdasarkan nama dan gelaran masing-masing. Nama dan gelaran ini sama sebutan dan sifatnya dengan nama dan gelaran yang terdapat di Tanah Arab. Oleh itu, teori yang mengatakan Islam datang dari India dapat disangkal berikutan ramai pendakwah lama yang telah bermastautin di Asia Tenggara sekaligus menolak teori Barat.[28] Kedua, beliau menyangkal pandangan Mouqette yang mengatakan bahawa beberapa batu nisan didapati di Pasai dan Gersik mempunyai persamaan dengan batu nisan di Gujerat, kenyataan ini tidak sepatutnya membuktikan teori Islam di Asia Tenggara di bawa dari India kerana kedudukan kawasan Asia Tenggara dengan India adalah berdekatan, oleh yang demikian tidak menjadi suatu permasalahan sekiranya barang-barang yang terdapat di Gujerat akan sampai ke Pasai dan Gersik.[29] Justeru, bagi beliau untuk membuktikan kedatangan Islam ke Nusantara dalam skop persoalan dari mana dan siapa yang membawanya serta tarikh penting kedatangan Islam seharusnya berdasarkan penelitian terhadap bahasa dan kesusasteraan yang sememangnya diakui menjadi bahan tinggalan sejarah yang konkrit dan digunapakai oleh masyarakat Nusantara.
Syed Naquib al-Attas mendapati bahawa jika ditinjau semua hasil kesusasteraan keagamaan yang telah merujuk kepada sumber-sumber tulisan lama Islam di Asia Tenggara, didapati bahawa tiada satu pun laporan, rujukan atau sebutan yang merujuk kepada penulis India atau kitab yang berasal dari India dan digubah sendiri oleh orang India. Sebaliknya jika diteliti, kitab-kitab yang didakwa berasal dari India oleh sarjana Barat sebenarnya kitab yang ditulis oleh penulis bangsa Arab dan kitab-kitab ini sebenarnya dibawa dari Arab atau Timur Tengah yang segelintirnya singgah ke India.
Seterusnya kelemahan yang ketara yang terdapat pada teori sarjana Barat yang mendakwa Islam di Asia Tenggara berasal dari India boleh dilihat melalui skop pentarikhan kedatangan Islam yang didakwa datang dari India ini. Berdasarkan tarikh pada batu nisan di Pasai iaitu 1428 masihi dan batu nisan Malik Ibahim di Grisek yang bertarikh 1419 masihi yang seakan-akan sama dengan batu nisan ‘Umar ibn Ahmad kazaruni di Gujerat, maka Moquette membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya dibawa dari Gujerat. Walhal pada hakikatnya, pada masa terdirinya kerajaan Pasai iaitu pada tahun 1042, Gujerat belum lagi menerima agama Islam. Sebaliknya, hanya pada tahun 1301 Gujerat menjadi negara jajahan Delhi setelah Sultan Alauddin berjaya merebutnya daripada kekuasaan Hindu.[30]
Sebelum itu, apabila kita meneliti dari sudut pentarikhannya dengan menerima bahawa Islam datang dari Gujerat, bermakna Islam hanya sampai ke Asia Tenggara bermula pada abad ke-13. Sedangkan terdapat banyak bukti yang menunjukkan Islam telah datang lebih awal sebelum abad ke-13.[31] Contohnya, dalam Ensiklopedia Tematis Dunia Islam jilid 7, Islam telah masuk ke Asia Tenggara melalui jalan perdagangan sejak abad ke-7 lagi.[32] Bukti lain yang menunjukkan Islam telah datang lebih awal sebelum abad ke-13 ialah bukti arkeologi sebagaimana di Phanran Selatan Campa ahli arkeologi telah menjumpai batu nisan yang menggunakan tulisan Arab Kufi yang menyebutkan nama seorang Islam yang meninggal dunia iaitu Ahmad bin Abu Ibrahim ( 29 safar 431 H/1039M ). [33] Bukti ini telah menunjukkan bahawa Islam telah bertapak lebih awal bukan seperti yang didakwa oleh Pijnappel. Menerusi isu pentarikhan ini juga, kita dapat menilai tentang kelemahan fakta yang dibawa oleh Pijnappel berdasarkan sejarah Gujerat itu sendiri. Gujerat diperintah oleh orang Islam bermula  pada tahun 1298M iaitu pada awal abad ke-13[34] sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Oleh itu, mustahil Gujerat yang baru berjinak dengan Islam ini boleh menyebarkan Islam ke tempat lain khususnya di benua Asia Tenggara.
Seterusnya, teori Pijanppel juga boleh dinilai faktanya berdasarkan keadaan geografi daerah Gujerat. Sekiranya diteliti daerah Gujerat terletak di bahagian barat daya India[35] yang merupakan kawasan persisiran pantai dan menjadi laluan para pedagang Arab untuk singgah berdagang di sana. Di samping para peniaga Arab itu berdagang, mereka juga telah berkesempatan menyebarkan Islam sehingga mereka berjaya menduduki pusat pelabuhan penting termasuk Gujerat dan Malabar.[36] Usaha dakwah para peniaga Arab ini telah membuahkan hasil berikutan Gujerat sebelum ini di bawah pemerintahan raja-raja Solanki iaitu raja-raja Hindu dari Anahilwada telah digantikan dengan pemerintahan Islam sehingga berkekalan pada awal abad ke-16.[37] Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa Islam telah  berkembang pesat  di Asia Tenggra pada abad ke-13 dan diterima baik oleh masyarakat di sini berikutan ajarannya yang mudah diterima dan mampu berhadapan dengan pelbagai bentuk situasi masyarakat di Asia Tenggara.[38]
Kenyataan Pijnappel bahawa Islam datang dari India melalui persamaan mazhab di India dengan mazhab di Asia Tenggara iaitu mazhab Syafie,[39] telah dipertikaikan oleh Thomas Arnold seperti yang dipetik dalam buku Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor, berpendapat Gujerat bukanlah tempat yang membawa Islam ke Nusantara, sebaliknya Benggala di Coromandel atau Malabar di selatan India. Menurutnya lagi, Mazhab Islam yang diamalkan di Gujerat ialah mazhab Hanafi sedangkan di Nusantara Mazhab Syafie.[40] Marrison yang menyokong teori Pijnappel ini dengan mengatakan hujah yang sama, dibidas oleh oleh pandangan S.Q Fatimi dengan mengatakan bahawa orang India mengamalkan Mahzab Hanafi, manakala orang Islam di Malaysia berpandukan Mahzab Syafi’i[41] sekaligus bersetuju dengan pandangan Arnold. Menurut beliau, amat sukar untuk masyarakat membuat penukaran mahzab berikutan kesukaran untuk menukar kepercayaan mereka atas dasar persepsi mereka terhadap ajaran asal.[42]
4.0 Kesimpulan
            Pelbagai teori dan pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana tentang kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana ini sememangnya ada kebenaran. Namun begitu, jika dibandingkan teori kedatangan Islam dari India dengan bukti-bukti arkeologi sahaja, teori ini adalah amat lemah dan boleh disangkal. Tambahan pula, perselisihan dari sudut pentarikhan menyebabkan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara adalah berasal dari India boleh dinilaikan kelemahannya. Biarpun terdapat persamaan mazhab antara ajaran Islam di Asia Tenggara dengan daerah Gujerat, Malabar dan Pantai Coromandel seterusnya beberapa kawasan yang berkaitan, namun ia masih tidak boleh membuktikan bahawa Islam di Asia Tenggara secara langsung adalah berasal dari India. Jika diteliti, kebanyakan teori dan pandangan serta hujah yang dikeluarkan oleh sejarawan Barat berkaitan kedatangan Islam di Nusantara adalah dari India, namun ada juga dalam kalangan mereka membidas hujah sebelumnya dengan memaparkan bukti yang ditemuinya. Keadaan ini telah menunjukkan dengan jelas bahawa teori sebelum ini mempunyai kelemahan dan sememangnya boleh dipersoalkan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh S.M.N Al-Attas, walau apapun perbezaan teori dan hujah orientalis Barat, beliau tetap mengatakan bahawa memang Islam datang ke Nusantara atas peranan pedagang Islam dari Tanah Arab.
BIBLIOGRAFI
Abd Kalil Borham.2002.Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri Johor. Skudai:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul Rahman Haji Abdullah.1990.Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan Perkembangannya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Haji Abdullah. 2007.Sejarah asia Tenggara Tradisional.Jakarta: Penerbit Pena.
Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique dan Yasmin Hussain (ed).1985.Readings on Islam in Southeast Asia. Singapura: Institut of Southeast Asian Studies
Amran Kasimin.1995.Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azyumardi Azra. 2002. Islam di Nusantara : Jaringan Global dan Lokal. Bandung : Penerbitan Mizan.
Azyumardi Azra (ed). 2002. Ensiklopedia Tematis Dunia Islam Jilid 5 ( Asia Tenggara ). Jakarta: Pt Ichtiar Baru Van Hoeve.
Djoko Soerjo.2007.Islam Nusantara:Sejarah Sosial Intelektual Islam di Indonesia.Jogjakarta: Ar-Ruzz Media.
Haji Buyong Adil.1980. Sejarah Kedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Muarif Ambang (ed).1999. Ensiklopedia Islam Jakarta: Pc Ichtiar Baru Van Hoeve.
Mahyuddin Haji Yahaya.2001. Islam di Alam Melayu. Selangor:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohammad Redzuan Othman.2005.Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Saifullah Mohd Sawi dan Samsu Adabi Mamat.2009. Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1999. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
S.Q. Fatimi.1963. Islam Comes to Malaysia. Singapore : Malaysian Sociology Research Institute Ltd.
Tauhid Abdullah (ed).2002.Ensiklopedia Tematis Dunia Islam Jilid ( Faktaneka dan Indeks) Jakarta: Pt Ichtiar Baru Van Hoeve.
Uka Tjandrasasmita.2009.Arkeologi Islam Nusantara. Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia.





[1] Djoko Soerjo.2007.Islam Nusantara:Sejarah Sosial Intelektual Islam di Indonesia. Jogjakarta:Ar-Ruzz Media. hlm.32.
[2]Abdul Rahman Hj Abdullah. 2007. Sejarah Asia Tenggara Tradisonal. Jakarta: Penerbit Pena. hlm. 13.
[3] Mohammad Redzuan Othman.2005.Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.hlm.4.
[4] Amran Kasimin.1995.Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.154.
[5] Gujerat menjadi wilayah Islam pada tahun 1927. Walaupun majority orang Gujerat beragama Hindu, golongan istana dan golongan pemerintah adalah orang Islam. Cambay menjadi wilayah Islam pada tahun 1298.Lihat : G.E Marrison.1951. The Coming of Islam to The East Indies. JMBRAS. Vol.XXIV.bhg.1hlm.28-37.  
[6] Ibid.hlm.155.
[7] Mohammad Redzuan Othman. 2005. Islam dan Masyarakat Melayu : Peranan dan Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. hlm.4
[8] Djoko Soerjo.2007.Islam Nusantara:Sejarah Sosial Intelektual Islam di Indonesia. Jogjakarta: Ar-Ruzz Media. hlm. 32
[9] Ibid, 33
[10] Uka Tjandrasasmita.2009. Arkeologi Islam Nusantara. Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia.hlm. 13
[11] Djoko Soerjo.2007.Islam Nusantara:Sejarah Sosial Intelektual Islam di Indonesia. Jogjakarta: Ar-Ruzz Media. hlm. 33
[12] Ibid
[13] Ibid, hlm.35.
[14] Ibid.
[15] Ibid. hlm. 33
[16] Mahayudin Haji Yahaya.1998. Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur : Perpustakaan Negara Malaysia.hlm.4-5.
[17] Abdul Rahman Hj Abdullah. 2007. Sejarah Asia Tenggara Tradisonal. Jakarta: Penerbit Pena.  hlm. 2-3.
[18] Mohammad Redzuan Othman.2005.Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.hlm.4.
[19] Malik Ibrahim merupakan wali ke-8 dari Wali Songo yang tercatat dalam tradisi Jawa sebagai penyebar Islam di Tanah Jawa pada abad ke-14 hingga abad ke-16.
[20] Ibid.hlm.4 Lihat G.W.J. Drewes.1968. New Light on the Coming of Islam to Indonesia?. Bijdragen Tot de Taal, Land – en Volkenkunde. Vol.124.hlm.440.
[21] S.Q. Fatimi.1963. Islam Comes to Malaysia. Singapore : Malaysian Sociology Research Institute Ltd.hlm.5-6.
[22]Marrison sebagaimana kebanyakan cendekiawan, bersetuju bahawa Islam tiba di Kepulauan Melayu dari Semenanjung India. Walaubagaimanapun, berdasarkan fakta dan perbahasan, beliau menolak pandangan bahawa batu-batu nisan pemerintah-pemerintah Sumatera yang awal yang beragama Islam telah didatangkan dari Cambay, pelabuhan Gujerat. Sebagai suatu teori alternatif, beliau menyarankan bahawa Koromandel lebih berkemungkianan merupakan tempat bermulanya agama Islam berbanding dengan Gujerat. Teori ini juga dipegang oleh Arnold berdasarkan beberapa keisitimewaan teologi Islam yang tertentu, iaitu kebanyakan orang islam di Semenanjung Tanah Melayu menganut Mahzab Syafi;i sebagaimana penduduk di pantai Koromandel dan Malabar. Oleh itu, diandaikan bahawa Mahzab Syafi’iyyah telah dibawa dari pantai Malabar. Pelabuhan-pelabuhan di pantai Malabar ini sering didatangi oleg pedagang-pedagang dari Jawa, China dan Arab Selatan. Lihat G.E. Marrison.1951.The Coming of Islam to the East Indies. JMBRAS.Vol.XX1V.hlm.28-37.
[23]Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique dan Yasmin Hussain. 1989. Islam di Asia Tenggara : Perspektif  Sejarah. Jakarta: Penerbit LP3ES.hlm.15-16. Mereka datang ke Sila melalui Campa setelah melarikan diri daripada kekejaman tentera Umaiyyah. Pandangan ini menjelaskan bahawa Islam pada awalnya dibawa oleh orang Arab kelompok Syed Hadramaut yang berfahaman Syiah terutama ahli Alawiyyin iaitu kelompok yang menyokong Ali bin Abi Thalib yang telah melarikan diri dari tekanan kerajaan Uthmaniyyah yang terkenal kejam iaitu al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi ke kawasan Campa dan seterusnya ke kawasan Sulu, Sulawesi dan kalimatan. Jika inilah faktanya, dapat disimpulkan bahawa kenyataan Moqutte ini banyak kelemahannya dan boleh dipersoalkan. Lihat: Abdul Rahman Haji Abdullah.1990.Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan Perkembangannya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.36.
[24] LIhat: R.O Winstedt. 1917. The Advent of Muhammadanism in the Malay Peninsula and Archipelago. JSBRAS. hlm.172.
[25] Tun Mai Ulat Bulu menghadapi kesulitan membunyikan perkataan-perkataan Arab yang diajar oleh Makdum. Apabila ditegur tentang kelemahannya itu Tun Mai Ulat Bulu menjawab bahawa Bahasa Arab bukanlah bahasa pertuturannya dan Makdum sendiri sebagai orang Arab juga menghadapu kesulitan apabila menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu.Hujah Tun Mai Ulat Bulu ini telah mengundang kemarahann Makdum Sadar Jahan sehingga beliau enggan mengajarnya lagi. Lihat : Mohammad Redzuan Othman.2005.Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.hlm.5-6.
[26] Amran Kasimin.1995.Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.156.
[27] Perbezaan antara teori pertama dengan teori kedua ialah yang pertama menekankan bahawa Islam datang dari Cambay, pelabuhan Gujerat manakala teori kedua menekankan bahawa Islam tiba di Kepulauan Melayu dari selatan India (Snouck Hurgronje). Amran Kasimin.1995.Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.158.
[28] Mubaligh2 lama Islam didaerah inipun terdiri dari orang2 Arab atau Arab-Farsi dan ini nyata dari gaya dan gelaran mereka masing2. Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1999. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). hlm.32-33.
[29] Ibid.hlm.33. Dari segi lain pula,percubaan mengaitkan tempat asal batu nisan tersebut sebagai tempat asalnya agama Islam di Nusantara adalah mengelirukan. Ini kerana adanya natu nisan itu mudah di pesan dari Gujerat, bukannya menunjukkan agama Islam disebarkan dari sana.
[30] Abdul Rahman Haji Abdullah.1990.Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan Perkembangannya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.44.
[31]  Tauhid Abdullah (ed).2002. Ensiklopedia Tematis Dunia Islam Jilid 7 ( Faktaneka dan Indeks ). Jakarta: Pt Ichtiar Baru Van Hoeve. hlm. 11.
[32] Ibid.
[33] Azyumardi Azra (ed). 2002. Ensiklopedia Tematis Dunia Islam Jilid 5 ( Asia Tenggara ). Jakarta: Pt Ichtiar Baru Van Hoeve. hlm. 11.
[34] Hassan Muarif Ambang (ed).1999. Ensiklopedia Islam. Jakarta: Pc Ichtiar Baru Van Hoeve. hlm. 35.
[35] Hassan Muarif Ambang (ed).1999. Ensiklopedia Islam Jakarta: Pc Ichtiar Baru Van Hoeve. hlm. 35.
[36] Mahayuddin Haji Yahaya.2001. Islam di Alam Melayu. Selangor:Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 6.
[37] Hassan Muarif Ambang (ed).1999. Ensiklopedia Islam Jakarta: Pc Ichtiar Baru Van Hoeve. hlm. 35-36.
[38] Djoko Soerjo.2007.Islam Nusantara:Sejarah Sosial Intelektual Islam di Indonesia.Jogjakarta: Ar-Ruzz Media. hlm.44.
[39] Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique dan Yasmin Hussain (ed). 1985. Readings on Islam in Southeast Asia. Singapura: Institut of Southeast Asian Studies. hlm. 8.
[40] Abd Kalil Borham. 2002. Pentadbiran undang-undang Islam negeri Johor. Skudai:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.hlm. 15.
[41] Amran Kasimin.1995.Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm.156.
[42] Ibid.