Monday 3 February 2014

about a year....

is it really?

ma shaa Allah. its about a year I didn't open my blog. I'm a teacher now, Alhamdulillah. even just a replacement teacher at Sek. Ren. Sg. Selisek, I was very happy teaching the pupils. After Sek. Keb. Besout 4, this is the second primary school that I had attend. this opportunity can give me more experience, bi iznillah. Alhamdulillah, ala kullihal.

Wednesday 19 September 2012

tak kan boleh...

lidah...
sangat mudah untuk lidah dan lisan mengeluarkan kata2. sama ada yg benar atau palsu, lidah akan lancar menuturkan...

sangat mudah untuk membohongi insan lain dgn kata2. tapi aku amat percaya x kan blh aku menipu Allah dan diri sendiri. x kan boleh!!!

yup...aku dah jatuh hati. aku x dpt lg utk menafikan...tapi jujurnya, aku amat malu. malu pd Allah yg menciptakan fitrah insani utk bercinta dan dicintai...aku malu kerana belum lagi aku mengecapi cinta hakiki Ya Rabbi, tapi pantas saja aku jatuh hati pd sang abdi Rabbul 'Izzati...Allahurabbi...hamba apakah aku ini???

aku terlalu memuji kebaikan si dia hingga aku lupa Allah yg Maha Baik menjadikannya seorang yg baik...oleh itu, pasti Allah berganda2 jauh lbh baik dr si dia...

Allahuakbar...rasa cinta ini sukar digambar..ntah kali ke berapa rsa ini bertandang dan sering mengganggu hidupku..bagaimana blh aku fokus pd perjuangan agama jika diriku hanyut dgn dunia cinta manusia...biarpun kami tidak bercinta, walaupun aku hanya mengharap cinta si dia namun kehidupanku tetap tidak terurus dan tidak mendapat ketenangan yg abadi...

ya Allah, aku memohon kekuatan dariMu utk istiqamah dlm berusaha ke arah kebaikan...

Wednesday 12 September 2012

cikgu praktikal????

in the name of Allah, Most Gracious n Most Merciful....

tggl beberapa minggu je lagi nk hbs praktikal d smkfb...
jujurnye, perasaan sedih mengatasi perasaan gembira...dan jujur juga perasaan sedih utk perpisah dgn sahabat2 praktikal mengatasi perasaan sedih utk berpisah dgn warga smkfb...ntah knp, rse happy bile bersama sahabat2 akma, zimah, tikah, wani, ikin n akim...dah mcm adik beradik pun ade gak..sedih bile dikenang diorang akan meninggalkan besout...
i'll miss them....

tapi x kurang sedihye bile nk meninggalkan smkfb dan warganya...
di sekolah ini aku belajar erti kehidupan seorang pendidik...aku belum dpt mencapai standard guru penyayang atau pun guru feberet berbanding sahabat2 yg lain...rase jeles itu ade tapi nk buat cm ne..belum ade skill nk tackle budak...insyaAllah, dgn pengalaman yg ade, aku akan berusaha dgn lbh gigih utk menjadi pendidik anak bangsa disamping menjadi guru penyayang...amin...

cikgu2 yg x kan dilupakan, sahabat semeja, segosip...kak ana, kak mazidah, kak yanie, kak sueraya, kak lin,  guru pembimbing kak ct, kakak yg baik hati kak madiah n semua cikgu2....cikgu2 smkfb sgtlh jurus2 belaka....kalo lh nk sebut semua name kat cni tp yg tu tggu entry bile btol2 da nk hbs praktikal..heee

pd anak didik plak...
seronok dpt mengajar warga felda besout...tpt aku membesar...walaupun aku tidak bljr d smkfb tp bile jd cikgu smkfb, aku jatuh hati...kenakalan mereka x semua menjadi racun...ade ketika mereka jadi pengubat rindu esp cls2 yg aku ajar..4 sc 2, 2 dahlia n 2 kenanga...semuanya ade kenangan tersendiri...

ckp utk kali ini...sje mengisi mse lapang..insyaAllah pasni bertemu lagi...

Tuesday 14 August 2012

dugaan di bulan ramadhan - akhir ramadhan

astaghfirullahalazim...
astaghfirullahalazim...
astaghfirullahalazim...

dugaan di bulan Ramadhan...aku jatuh lagi. kali ini mungkin lebih teruk dr sebelum ini
kerana hamba Allah yang menyebabkan aku jatuh sentiasa berada di depan mata.
Allahuakbar, berat ujian kali ini.
tidak tahu bagaimana untuk menghadapi.
hanya istighfar pengubat hati...
memadamkan titik hitam yg muncul kini...

astaghfirullahalazim...harapanku agar aku terus kuat menjalani hari-hari mendatang...
semoga hari-hari terakhir ramadhan dan cuti raya kali ini dapat mengubat dugaan dan cabaran hati seorang wanita, insan yang mempunyai fitrah cinta insani...

sudah cukup sudah....
ingin ku damba cinta Ilahi sbg bekal untuk mencintai seorang bakal suami...

Monday 13 August 2012

sibuk sangat kah???

assalamualaikum

astaghfirullah, sgtlah lama dah x menaip kat cni...mengalahkan PM sibuknye. padahal cikgu praktikal je pun...hmmmm...muhasabah diri semula ape yg disibukkan sgt

sibuk berjuang untuk agama kah?
sibuk buat RPH dan ABM kah?
sibuk tolong mak abah kat rmh kah?
sibuk cari rezeki kah?

i dont think so...nk kate bergerak utk agama, x de buat ape pun...
RPH ngn ABM still buat last minute gak
mak abah kat rmh x duduk diam pun...sibuk je ngn keje diorg..
belanja mak abah bg gak...x de pulak cari sndr...

lantas, ape yg aku sibukkan???
Astaghfirullah al-azim...

alwaktu kassaif...masa umpama pedang. jika kita x memotongnya maka ia akan memotong kita....

semoga selepas ini lbh istiqamah...amin...

Thursday 7 June 2012

asia selatan abad 20...adakah aku jadi pencipta sejarah baru India???

alhamdulillah..
selesai paper Asia Selatan Abad 20...tak tahu la sedih ke gembira...biase2 je kot....x la gembira sgt coz ade je bnd yg lupe...x la sedih sgt sbb bnd da lps...nk buat cm mne...so, da usaha, doa dan tawakal supaya kptsn yg diperoleh adalah yg terbaik utkku...amin ya Rabb...

Wednesday 6 June 2012

Kongres Kebangsaan India


Penubuhan Kongres Kebangsaan India telah menjadi asas kepada perkembangan nasionalisme bercorak liberal di India. Jelaskan.
PENGENALAN
Tugasan ini akan membincangkan tentang latar belakang Kongres Kebangsaan India di mana penubuhan Kongres ini telah menjadi asas kepada berkembangnya nasionalisme bercorak liberal di India. Tumpuan juga diberikan kepada tokoh-tokoh yang terlibat dalam Kongres Kebangsaan India ini di mana hanya menyentuh lima orang tokoh sahaja, iaitu Octavian Hume, Mahatma Gandhi, Pandit Motilal Nehru, Sardar Patel dan Sir Surendranath Bannerji. Di sini dinyatakan siapakah tokoh Kongres ini dan apakah latar belakang dan idea yang dibawa oleh mereka. Di samping itu juga, akan ditunjukkan bukti bagaimana penubuhan kongres ini boleh menjadi asas kepada perkembangan nasionalisme yang bercorak liberal di India. Antara bukti yang perkembangan nasionalisme bercorak liberal yang akan dinyatakan dalam esei ini ialah bukti Kongres Kebangsaan India bersifat liberal, ditubuhkan oleh seorang British yang bersifat liberal, ahli terdiri dari golongan terpelajar yang mempunyai sifat kepimpinan liberal dan memperjuangkan kebajikan rakyat India serta  menjaga kepentingan British.
LATAR BELAKANG KONGRES KEBANGSAAN INDIA
            Tahun 1885 merupakan suatu tahun peringatan penjelmaan perasaan dan persatuan kebangsaan India dalam sejarah India. Pada tahun itu, cita-cita yang terkandung dalam hati sanubari golongan yang telah insaf mendapat bentuk yang nyata dan merupakan suatu organisasi ialah All India National Congress, biasanya disebut Indian National Congress atau nama singkatannya Congres sahaja.[1] Pada tahun 1885, A.O. Hume, seorang Inggeris menghubungi pemimpin-pemimpin India yang penting dan mengadakan mesyuarat di Bombay pada bulan Disember. Mesyuarat ini dihadiri oleh 72 orang wakil.[2] Mereka membuat keputusan untuk mengadakan hubungan persahabatan di antara pekerja-pekerja politik nasionalis di seluruh India, memperkembangkan dan menyatupadukan perasaan perpaduan negara tidak mengira kasta, agama atau kawasan, membincangkan tuntutan-tuntutan popular dan mengemukakan kepada kerajaan dan mewujudkan pandangan umum di dalam negara. Mesyuarat ini menubuhkan parti Indian National Congress (INC) dengan tujuan mengelakkan satu pemberontakan popular. Mesyuarat kedua diadakan di Calcutta pada Disember 1886 di bawah Dadabhai Naoroji dan secara beransur-ansur keahlian pertubuhan ini bertambah. Perkembangan nasionalisme di India bermula dari tahun 1858 hingga penubuhan India National Congress (INC) pada tahun 1885 sering dirujuk sebagai nasionalisme peringkat pertama. Pada tahun 1883, satu persidangan peringkat kebangsaan yang mengumpulkan semua persatuan yang ada di India telah diadakan di Calcutta dan pada tahun 1885, INC telah ditubuhkan di Bombay.[3] Tahun 1885 juga merupakan tarikh penting dalam perkembangan nasionalisme India kerana pada penghujung abad ke-19 itu, telah berlaku perkembangan yang pesat dalam bidang pendidikan, surat khabar, sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda dan hal ini menjadi penyebab kepada berkembangnya idea liberal.[4]
Penubuhan INC ini tidak akan lengkap sekiranya tidak menyebut nama seorang Inggeris yang tidak dapat dilupakan dalam persiapan untuk menubuhkan INC ini. Kebanyakan daripada kepujian pembentukan Kongres kepada orang Inggeris yang bernama Allan Octavian Hume yang merupakan seorang pegawai India yang telah bersara dan berasal dari keluarga yang mempunyai tradisi perkhidmatan yang lama di India.[5] Setelah beliau bersara, Hume telah memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap persoalan politik di India dan menjadi penasihat kepada para ahli politik India yang pada masa itu mendesak untuk diwujudkan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi memperkembangkan dan menyatukan perasaan perpaduan negara tanpa mengira kasta, agama, atau kawasan, membincangkan tuntutan-tuntutan popular dan mengemukakannya kepada kerajaan.[6]
            Pada mulanya INC ini bersifat sederhana yang mempunyai tujuan “untuk membolehkan semua pekerja dalam semangat kepentingan negara, berkenalan lebih rapat antara satu sama lain, berbincang dan memutuskan tindakan-tindakan politik yang akan diambil yang akan menjadi asas dan perolehan pengalaman pemerintahan”. Setelah INC mendapat sokongan masyarakat tempatan, pada tahap berikutnya INC menjadi semakin lantang dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan dan menuntut pelbagai pembaharuan.[7] INC dipimpin oleh Mahatma Gandhi dari tahun 1920 hingga tahun 1939. Parti ini menjadi satu-satunya parti politik yang berpengaruh di India. Mahatma Gandhi telah berjaya menukar INC dari sebuah parti bersifat elit kepada sebuah gerakan massa yang penting yang mewakili pelbagai kelompok masyarakat dari kelas bawahan hingga kelas atasan.[8] Namun demikian, kita perlu ingat bahawa pada tahap awal penubuhan INC, tokoh-tokoh awal INC sudah mula mengubah pendirian yang selama ini mereka pegang tentang India. Pendirian yang telah diubah oleh mereka ialah mereka merasakan bahawa India bukan sebuah tanah jajahan akan tetapi India merupakan sebuah negara yang diduduki oleh bangsa India.

TOKOH PEJUANG KONGRES KEBANGSAAN INDIA
Dalam sejarah perkembangan Kongres Kebangsaan India, terdapat beberapa tokoh yang berperanan penting bagi memperjuangkan matlamat pertubuhan kongres. Antara tokoh yang terlibat adalah Allan Octavian Hume, Mahatma Gandhi, Pandit Motilal Nehru, Sardar Patel dan Sir Surendranath Bannerji. Tokoh-tokoh ini amat berjasa kerana telah memulakan gerakan memperjuangkan nasib rakyat India dengan memulakan perjuangan mereka dengan hanya bersikap liberal supaya perjuangan mereka diterima oleh pemerintah kerajaan British.
Allan Octavian Hume merupakan seorang yang amat penting dalam sejarah Kongres Kebangsaan India. Beliau adalah seorang berbangsa Inggeris yang berasal dari Scotland. Beliau seorang yang mempunyai pemikiran yang cergas dan beridealisme tinggi. Beliau mendapat pendidikan awal dari keluarga terutama bapanya, Joseph Hume[9] dan terdidik ke arah berpemikiran radikal liberalisme. Hume telah didedahkan dengan pemikiran radikal liberalisme sejak zaman usia mudanya kerana dibesarkan dalam suasana bapanya yang merupakan seorang radikal M.P. untuk Dulwich dari Chartism dan reformasi Perundangan Corn. Hume telah menjadi seorang ikon yang besar di India sejak zaman mudanya. 

“Intelligent, sensitive, with the burning conscience of an Evangelical, he early became ill ease with existing institutions which perpetuated political injustices and social and economic ills. Thus the radical aims and progressive methods of the utilitarians and radical reformers shaped Hume’s outlook and aspirations, and permeated his career in India.”[10]

Jati diri Hume yang terbentuk daripada didikan yang diperoleh secara langsung daripada bapanya, persekitarannya dan pembacaannya membentuk Hume menjadi seorang yang beraspirasi tinggi dan mengesahkan perjalanan karier beliau di India.  Hume merupakan seorang yang sentiasa bersemangat dan berpandangan jauh.[11] Idea beliau untuk mewujudkan kerajaan sendiri pada awal 1870-an memperlihatkan beliau seorang yang bercita-cita tinggi bagi melihat rakyat India memerintah negara mereka sendiri biarpun pada ketika itu India dijajah oleh British yang angkuh dengan kedudukannya. Dengan kebijaksanaan dan sikapnya yang sensitif terhadap isu-isu rakyat, hal ini membolehkan Hume menjadi orang yang penting dalam sejarah perkembangan politik India.
Hume merupakan seorang yang komited dengan tugasnya. Beliau pernah menjadi Pegawai Daerah di Etawah, sebuah kawasan di Barat Laut India pada 1849-1865.[12] Sebagai pegawai daerah, Hume sangat prihatin dengan rakyat di bawah jagaannya. Beliau membina sistem sekolah, mengusahakan penerbitan akhbar bagi menjana minda masyarakat, memperbaharui pentadbiran  undang-undang, dan mementingkan pendidikan bagi masyarakat.[13] Usaha-usaha yang dilakukan oleh Hume ini semata-mata ingin meningkatkan kemajuan diri masyarakat serta membangunkan wilayahnya menjadi sebuah wilayah yang maju.
Kemudian pada tahun 1867-1869, Hume dilantik pula menjadi Pesuruhjaya Adat Pedalaman seterusnya mewakil kerajaan  dalam rundingan bersama raja Rajputana. Pada 1868-1869 dan 1876-1878.[14] Kredibiliti Hume yang komited dengan tugas yang diberikan menyebabkan beliau diberi kepercayaan penuh bagi menjawat beberapa jawatan penting ini dalam pentadbiran kerajaan India pada zaman penjajahan British.
.  Setelah Hume menamatkan perkhidmatnnya sebagai pegawai kerajaan di Indian Council Service pada 1882, beliau terus tinggal di Simla untuk melibatkan diri dalam lapangan pergerakan Kebangsaan India.[15] Beliau ingin meneruskan perjuangan radikalnya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan memberi sokongan terhadap perjuangan ke arah berkerajaan sendiri. Dalam usaha ke arah berkerajaan sendiri, terdapat tiga matlamat yang hendak dicapai oleh Hume iaitu mempersatukan golongan rakyat, pembaharuan dalam pengetahuan, akhlak, sosial dan politik serta memperbaiki perhubungan antara India dengan Inggeris.[16]
Menurut Hume, kerajaan British India tidak akan berusaha untuk membela nasib rakyat India. Nasib rakyat India mesti ditentukan dan diubah oleh rakyat India sendiri. Oleh yang demikian, pada 1883,[17] beliau telah menyampaikan surat kepada graduan perguruan tinggi di Calcutta untuk mengajak mereka yang terpelajar menyumbangkan tenaga untuk membela nasib rakyat. Ajakan Hume diterima dan 50 orang telah bersetuju untuk perjuangan tersebut.[18] Dalam mesyuarat pertama yang dijalankan, Hume menegaskan bahawa semua pekerja India perlu mengenali antara satu sama lain.[19] Walaupun di India terdapat pelbagai kaum dan agama, namun Hume menekankan bahawa mereka tetap satu bangsa yang perlu bersatu demi kemajuan negara. Oleh yang demikian, kongres atau mesyuarat yang dijalankan boleh menjadi platform bagi golongan pekerja elit India bertemu sebagai langkah permulaan menyatukan rakyat India dari pelbagai kaum dan agama.
Daripada kongres pertama ini, Hume berjaya menarik minat golongan elit India. Usaha ini menampakkan kemajuan bagi merealisasikan impian Hume bagi bagi mengubah nasib rakyat India. Biarpun dalam kongres yang pertama ini mereka belum dipengaruhi oleh pemikiran politik yang radikal dan belum wujud perasaan anti-Inggeris, namun usaha untuk menuju ke arah berkerajaan sendiri dapat dilihat daripada kesungguhan awal ini. Rentetan daripada beberapa kongres yang dijalankan, akhirnya tertubuhlah Kesatuan Kebangsaan India yang diasaskan oleh Hume pada 1885.
Pada awal kepimpinan Hume dalam kongres, objektif penubuhan kongres hanya meliputi pembelaan ke atas nasib rakyat dan tidak ingin memperjuangkan ke arah berkerajaan sendiri. Perjuangan ini diteruskan oleh Mahatma Gandhi yang juga menjalankan dasar politik liberal semasa penglibatannya dalam kongres.
 “Gandhi was essentially a man of religion, a Hindu to the innermost depths of his being, and yet his conception of religion had nothing to do with any dogma or custom or ritual. It was basically concerned with his firm belief in the moral law, which he calls the Law of Truth or Love, Truth and nonviolence appear to him to be the same thing or different aspects of one and the same thing and he uses these words almost interchangeably.” (1960: 279)[20]

Mohandas Karamchand Ghandhi atau Mahatma Gandhi telah dilahirkan pada 1869 di Porbandar yang terletak dalam daerah Kathiawar,di Gujerat. Beliau berkahwin dalam usia yang muda. Beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dalam bidang perundangan di London selama tiga tahun. Disamping itu, beliau turut mendalami pengetahuannya mengenai agama dan kesusasteraan Hindu. Gandhi kembali ke India pada 1891 dan menjadi peguam bela di mahkamah tinggi Bombay. Gandhi telah berangkat ke Pretoria (Afrika Selatan) bagi membela nasib orang India seramai 150,000 orang di bawah pemerintah dan orang-orang Boer yang sering ditindas. Beliau telah hidup disana selama 20 tahun, dalam keadaan sederhana, pengorbanan terbesar apabila beliau seringkali dihukum dan diseksa di hadapan umum. Pada tahun 1914, Lord Hardinge selaku pemerintah India telah memberontak dan akhirnya barulah nasib rakyat India berjaya dipulihkan.[21]
Sekembalinya, Gandhi dari Afrika, nama beliau jarang di dengar. Namun begitu, setelah Laporan Rowlatt diumumkan beliau tampil ke hadapan untuk membawa masyarakat India keluar dari lembah sengsara.[22] Melalui pengenalan Akta-akta Rowlatt 1919 yang mengadakan kawalan ketat ke atas akhbar, perbicaraan hakim tanpa juri ke atas para pesalah politik dan menahan mana-mana pihak yang disyaki menjalankan aktiviti subversif telah membangkitkan ketidakpuasan hati.[23]
Gandhi muncul daripada salah satu daripada dua aliran yang wujud dalam Kongress Kebangsaan India yang dikenali sebagai golongan moderate, sederhana dan bercorak liberal yang rata-rata terdapat dalam kalangan pemimpin tua kongress. Aliran Gandhi ini mengambil sikap tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan perubahan pemerintahan dan bersikap non-cooperation atau satyagraha seperti yang dianjurkan oleh Gandhi. [24]  Prinsip ini jugalah yang digunakan Gandhi dalam perjuangan beliau di Afrika Selatan. Jika meneliti makna sebenar satyagraha, ia merupakan tindakan menolak untuk bekerjasama dengan pemerintah atau menyokongnya, dan enggan menurut perintah kerana yakin berada di pihak yang benar dan berperikemanusiaan. Bahkan konsep satyagraha itu sendiri menunjukkan adanya keyakinan terhadap kekuatan batin, dengan sikap aktif dalam menghadapi segala kemungkinan hingga sanggup mengorbankan diri.[25]
Antara pengisian dalam pergerakan non-cooperation, ialah dengan menolak dan mengembalikan semula segala kehormatan yang diterima daripada pemerintah, tidak boleh menghadiri sebarang perayaan, upacara dan pertemuan-pertemuan rasmi, melarang anak-anak dari mendapatkan pendidikan di sekolah yang ditubuhkan oleh pemerintah melainkan mengambil inisiatif mendirikan sekolah bersifat kebangsaan.[26] Selain itu, memboikot pengadilan yang dibuat oleh hakim-hakim India dan orang yang terdakwa dan sebagai gantinya ia membentuk pengadilan yang lebih baik, bahkan tentera, para pekerja, dan guru-guru agama hendaklah menolak perjanjian untuk dihantar ke Iraq, calon-calon yang menyertai pemilihan dewan-dewan berserta rakyat hendaklah menarik diri daripada persidangan serta memboikot barangan luar negeri.[27]
Gandhi berkeyakinan terhadap prinsip tidak memakai kekerasan tetapi menentang melalui jiwa yang tenang, dan beranggapan cara itu dapat melawan segala kekerasan yang dikenali Ahimsa.[28] Selain itu, Gandhi turut berpegang kepada kebenaran, yakni Satya[29] dan kepercayaan terhadap kesempurnaan peribadi, iaitu Brahmacharya. Malah hartal atau senjata batin dan semangat swadeshi yang bererti yang dalam sekali dengan memboikot barangan asing dan digantikan dengan barang yang dibuat oleh masyarakat tempatan turut dijadikan antara jalan suci untuk menentang penjajah. Tidak dilupakan, penghormatan besar diberikan kepada semangat swadeshi ini telah diabadikan pada bendera kebangsaan India dengan simbol roda pemintal.[30]
Gandhi turut memainkan peranan penting dalam mengubah corak perjuangan masyarakat India dengan tidak bekerjasama dengan Inggeris seperti proses perlucutan gelaran-gelaran kerajaan, memulaukan dewan-dewan perundangan dan pilihanraya, penarikan diri daripada sekolah-sekolah kerajaan, meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan serta tidak membayar cukai.[31] Walaupun Gandhi menggunakan cara sederhana dalam memperjuangkan kemerdekaan India, namun cara yang digunakan oleh beliau berjaya membangkitkan kesedaran nasionalisme di kalangan rakyat India.[32]
Namun bagi golongan sayap kiri jelas mereka tidak menyokong apa yang diprinsipkan oleh Gandhi kerana tindakan mereka lebih terburu-buru dengan cara kekerasan, pemberontakan dan kebanyakan daripada mereka dari golongan muda. golongan sayap kiri yang lebih sosialis, atau radikal dianggotai kaum muda dengan mengambil langkah nyata melalui pimpinan Bal Gangadhar Tilak, Surendranath Bannerji, Arabindo Ghose, Bipin Chandra Pal, Nehru, Subhas Chandra Bose dan Lajpat Rai.[33] Golongan sayap kiri ini lebih menekankan resolusi-resolusi seperti pemboikotan, swadeshi dan perguruan nasional.
Selain Mahatma Gandhi, seorang tokoh yang bersifat liberal dalam kongres adalah Pandit Motilal Nehru. Pandit Motilal Nehru lahir dalam golongan Brahmin berketurunan bangsawan dari Kashmir yang terletak di India utara. Pandit Motilal Nehru merupakan bapa kepada seorang pejuang sayap kiri iaitu Jawaharlal Nehru. Bapa Nehru merupakan seorang peguam bela yang sangat dihormati oleh segenap lapisan penduduk Allahabad mahupun orang Hindu ataupun pembesar Inggeris. Beliau mempunyai sebuah rumah yang besar di Allahabad dan mampu memuatkan ahli-ahli kongres untuk sesuatu persidangan.[34] Meskipun pada awalnya beliau bersikap liberal dalam kongres, akan tetapi, berlaku perubahan terhadap pendirian beliau yang mana apabila beliau mengambil langkah untuk turut serta dalam pergerakan militan. Selain itu, beliau juga membahagi-bahagikan hartanya kepada mahasiswa yang miskin dan menamatkan perkhidmatannya sebagai peguam bela. Hal ini memperlihatkan bahawa Pandit Motilal Nehru meninggalkan kesenangan demi perjuangan secara militan bersama-sama anaknya, Jawaharlal Nehru. Tindakan beliau telah menyebakan penghormatan yang diberikan oleh Inggeris sebelum ini hilang disebabkan perjuangan militannya.[35]
Seterusnya, seorang tokoh yang menjadi tulang belakang kepada sayap kanan kongres adalah Sardar Patel. Patel berasal dari Gujerat dan salah seorang daripada saudaranya juga telah menyertai kongres pada awalnya.[36] Pada zaman mudanya, Patel merupakan seorang peguam bela. Biarpun jawatan yang dipegang oleh beliau amat terdedah dengan dunia politik, namun beliau tidak tertarik dengan perjuangan politik tersebut. Beliau sering dipuji sebagai seorang peguam bela yang cekap. Perbezaan jelas dapat dilihat antara beliau dengan Gandhi kerana beliau tidak menekankan kepentingan terhadap agama dan kesusasteraan Hindu. Oleh sebab itu, beliau sentiasa bersikap matang  dan bijak bertindak mengikut keadaan semasa.
Patel juga mengikut jejak Pandit Motilal Nehru apabila menamatkan perkhidmatannya sebagai peguam bela dan menyumbangkan hartanya untuk kongres semasa pergerakan satyagraha. Beliau juga mementingkan pekerjaan organisasi dan tindakan yang bijak. Hal ini menyebabkan beliau turut memainkan peranan yang besar dalam mencatur segala urusan di dalam kongres. Sebagai contoh, jika Gandhi atau ahli telah mencapai kata putus dalam sesuatu perkara, maka Patel yang akan melaksanakan keputusan tersebut. Patel yang merupakan seorang pengawal kepada jentera kongres dan badan menteri yang menjadi rujukan kongres dalam dewan-dewan provinsi. Beliau turut menyertai dewan Perundangan Pusat yangs seringkali memberi ancaman kepada British. Selain itu, beliau turut menyandang jawatan menteri dalam negeri dan penerangan menerusi kabinet pemerintahan peralihan.[37]
Pemimpin lain yang turut berjasa dalam kongres yang mengamalkan sikap liberal dengan mengambil tindakan yang jelas dalam menggerakkan perjuangan rakyat ialah Sir Surendranath Bannerji yang berasal dari Calcutta. Beliau merupakan seorang pegawai di Indian Council Service kerana beliau pernah mengambil ujian kepegawaian di London. Setelah 2 tahun bekerja, beliau telah dilucutkan jawatan dan menjadi guru di sebuah kolej di Calcutta. Pada waktu inilah munculnya cita-cita beliau untuk menyertai politik dan memimpin penerbitan sebuah akhbar serta menyumbangkan segala tenaganya untuk pergerakan kongres. Sewaktu mesyuarat kongres, Bannerji sering menjadi wakil perbicaraan kongres dihadapan umum. Pada tahun 1895  dan 1902, beliau telah terpilih bagi menyandang jawatan ketua kongres.
Bannerji seorang pemimpin yang disegani kerana sikap mesranya terhadap rakyat. Oleh sebab itu, Bannerji mampu untuk mempengaruhi rakyat bagi melancarkan gerakan swadeshi iaitu suatu gerakan yang memboikot barangan buatan Inggeris. Gerakan swadeshi ini dijalankan untuk mendidik perasaan berpersatuan dalam kalangan rakyat India. Selain itu, beliau ingin melihat rakyat India percaya dengan kelebihan dan kekuatan yang mereka miliki. Tambahan pula, rakyat digesa untuk menuntut pemerintahan sendiri berdasarkan matlamat bangsa. Gerakan swadeshi yang diketuai oleh Bannerji dilihat sebagai radikal liberal, namun pihak kerajaan British berasa terancam kerana gerakan ini menjadi alat yang menghasut rakyat untuk menentang segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan British.[38]
Gerakan swadeshi telah dilancarkan buat pertama kalinya pada 16 Oktober 1905 yang jatuh pada hari pemisahan Benggala. Kongres menganggap gerakan memboikot barangan buatan British adalah sebagai senjata politik dan dijalankan hanya seketika.[39] Namun begitu, pihak kerajaan British berasa terancam dengan tindakan Bannerji yang menjalankan gerakan tersebut. Hal ini menyebabkan Bannerji telah ditangkap dan didenda.
Bukti Kongres Kebangsaan India bersifat liberal.
Antara bukti yang menunujukkan Kongres Kebangsaan India bersifat liberal adalah ditubuhkan oleh seorang British yang bersifat liberal, ahli terdiri dari golongan terpelajar yang mempunyai sifat kempimpinan liberal, memperjuangkan kebajikan rakyat India dan menjaga kepentingan British, bersifat sederhana serta pendekatan tuntutan dilakukan lebih kepada ucapan, mesyuarat dan petisyen.
 Ditubuhkan oleh seorang British yang bersifat liberal
Bukti yang menunjukkan bahawa Kongres Kebangsaan India ini merupakan sebuah pertubuhan bercorak liberal, dapat dilihat dengan jelas melalui peranan yang dimainkan oleh pengasas kepada pertubuhan tersebut. Kongres ini diasaskan oleh Allan Octavian Hume, seorang pegawai Inggeris di India yang telah bersara dan berasal daripada keluarga yang mempunyai tradisi perkhidmatan kerajaan lama di India.[40]. Melalui bukti yang dipaparkan ini, jelas menunjukkan kongres ini bersifat liberal disebabkan pengasasnya adalah orang British. Penubuhan kongres ini juga dilakukan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan masyarakat India yang ketika itu menginginkan hak dan kebebasan dalam pentadbiran. Atas dasar itu, wakil British tersebut mengambil inisiatif menubuhkan kongres bagi mengurangkan ketegangan dan rasa tidak puas hati oleh rakyat India. Keadaan ini juga sebenarnya bertujuan untuk mengawal “kemaraan” rakyat yang secara tidak langsung boleh menjejaskan pentadbiran dan pemerintahan British di India. Pihak British bimbang jika suara-suara rakyat ini tidak didengari, kemungkinan besar akan berlaku pemberontakan sebagaimana yang pernah berlaku dalam Perang Sepoi.
Ahli terdiri dari golongan terpelajar yang mempunyai sifat kempimpinan liberal.
            Kongres Kebangsaan India ini boleh dibuktikan bersifat liberal juga melalui ahli-ahli yang menyertai kongres ini. Ahli-ahli kongres pada awalnya terdiri daripada golongan terpelajar dan elit. Menurut Dadabhai Naoroji seperti yang dipetik dalam buku Kemunculan Nasionalisme India: Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad ke-19, menyatakan golongan terpelajar telah ditiup semangatnya untuk berpolitik oleh pemerintah Inggeris yang kemudiannya golongan ini menjadi pemimipin semulajadi bagi rakyat. Peranan golongan terpelajar adalah menyatukan ikatan kebangsaan dengan memperkukuhkan kewibawaan politik baru di India seperti yang diarahkan oleh sebuah pusat yang berada di London.[41]
Hal ini demikian kerana, golongan terpelajar mempunyai sifat yang terbuka dan mudah menerima perubahan. Seterusnya, golongan terpelajar ini telah menyahut seruan Hume untuk menjayakan Kongres Kebangsaan India. Walau bagaimanapun, sebelum mereka menyertai kongres ini syarat-syarat ketat telah digariskan. Antaranya ahli-ahli kogres haruslah sanggup mengabaikan kepentingan diri sendiri demi kepentingan umum, harus mengetahui keadaan rakyat yang sebenar, dan mesti memiliki akal yang tajam serta mempunyai sifat yang tenang.[42] Oleh hal yang demikian, melalui syarat-syarat ini terutamanya pemikiran yang tajam dan sifat yang tenang menunujukkan bahawa kongres ini bersifat liberal yang tidak akan bertindak melulu menggunakan kekerasan dan akan menggunakan akal pemikiran dalam membuat sebarang keputusan.
            Sebelum penubuhan kongres ini pun golongan terpelajar telah mempunyai pertubuhan sendiri iaitu Persatuan India London (PIL). Persatuan ini berperanan mengetengahkan ketidak puashatian orang India dan menangkis tuduhan-tuduhan tentang masyarakat India yang terdapat di akhbar Inggeris.[43] Seterusnya, golongan terpelajar inilah yang menjadi tulang belakang kepada KKI setelah kongres  ini ditubuhkan.[44] Hal ini memunjukkan besarnya peranan golongan pelajar terhadap penubuhan kongres ini dan cukup membuktikan penubuhan kongres ini bersifat liberal berdasarkan peranan golongan terpelajar yang menjadi tunjang kepada KKI. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa Kongres Kebangsaan India bersifat liberal pada awalnya berdasarkan ahli-ahli yang terdiri dari golongan terpelajar dan menjadi penggerak pertubuhan ini sehinggalah kongres ini bertukar terbahagi kepada dua iaitu liberal dan radikal. Pada masa ini, para pelajar bukan lagi menjadi tulang belakang bagi pertubuhan ini kerana konsep penubuhannya berubah kepada menuntut kemerdekaan bukan lagi semata-mata untuk menjaga kebajikan masyarakai India. Malah, semasa era selepas radikal, kongres ini menjalankan dasar memboikot British.
Memperjuangkan kebajikan rakyat India dan menjaga kepentingan British.
KKI dikatakan bersifat liberal kerana hampir dalam setiap persidangan yang berlangsung, kongres ini pasti mencapai resolusi berkenaan menginginkan pembaharuan bagi masyarakat India tetapi pada masa yang sama mereka masih lagi menjaga kepentingan British di India. Buktinya, dalam persidangan julung kali yang diadakan selepas kongres ini ditubuhkan kebanyakan tuntutan mereka adalah bersifat liberal iaitu lebih kepada demokrasi yang tidak melibatkan sebarang keganasan. Antara contoh resolusi yang dicadangkan oleh ahli kongres bagi kepentingan rakyat India seperti mencadangkan ujian pegawai harus diadakan serentak antara orang India dan Inggeris bagi mengelak penerimaan calon-calon Inggeris sahaja.[45] Daripada resolusi ini, kita dapat melihat akan peranan yang dimainkan oleh kongres ini dalam menjaga kebajikan rakyat India agar jawatan kerajaan tidak hanya dimonopoli oleh pihak Inggeris sahaja. 
Selain daripada itu, KKI bersifat liberal yang berperanan menjaga kebajikan masyarakat India menerusi peranan yang dimainkan olehnya dalam menuntut pembaharuan untuk masyarakat India. Antara contohnya KKI menginginkan kerajaan meluaskan peranan masyarakat tempatan dalam pentadbiran sama ada dalam perundangan, perluasan majlis pusat dan pentadbiran dalam Lembaga Bandaran. KKI turut menuntut pengembangan pendidikan dan tenikal, pertambahan masyarakat tempatan mengisi jawatan tinggi dan diadakan peperiksaan perkhidmatan di India.[46] Justeru, daripada permintaan-permintaan ini jelas memunjukkan KKI bersifat liberal memperjuangkan nasib bangsa India semata-mata tanpa mendesak kerajaan mengubah keseluruhan sistem pentadbiran ataupun bertindak melawan undang-undang yang digariskan oleh British. Seterusnya, dalam persidangan kongres yang kedua juga dapat melihat akan perjalanan KKI yang bersifat liberal sebagaimana mereka menuntut agar semua rakyat India tidak kira agama, bangsa dan kasta berpeluang menjadi ahli dewan[47] dalam mengetengahkan masalah-masalah rakyat. Tuntutan mereka ini jelas menujukkan usaha mereka dalam menjaga kebajikan rakyat di samping masih lagi tidak melanggar undang-undang .
Seterusnya, KKI bersifat liberal kerana masih lagi menjaga kepentingan British di India melalui resolusi yang dicadangkan oleh kongres yang berpihak kepada Inggeris. Antaranya kongres ini menuntut agar seorang pemerintah dilantik oleh pihak Inggeris yang akan mengadakan pemeriksaan dalam cara-cara menjalankan pemerintahan negara.[48] Di sini kita dapat lihat mereka memerlukan pantauan oleh pihak Inggeris dalam perlantikan badan pemerintahan di India pada masa tersebut. Justeru, secara keseluruhannya hal ini membuktikan kongres bersifat liberal berdasarkan daripada peranan yang dimainkan dalam menjaga kepentingan masyarakat Inida di samping masih lagi menjaga kepentingan bangsa Inggeris.
            Bersifat Sederhana
            Kongres Kebangsaan India ini yang juga dikenali sebagai India National Congress (INC) adalah bersifat sederhana sebagaimana yang dinyatakan;
“Penubuhan INC pada awalnya sekadar mempunyai tujuan untuk membolehkan semua pekerja dalam semangat kepentingan negara, berkenalan lebih rapat antara satu sama lain, berbincang dan memutuskan tindakan-tindakan politik yang akan diambil yang akan menjadi asas dan perolehan pengalaman pemerintahan.”[49] 
Walau bagaimanapun, pada tahap berikutnya iaitu setelah INC diterima oleh masyarakat, berlaku sedikit perubahan pada pembawaan dan ideologi ahli kongres ini. INC mula menjadi pertubuhan yang semakin lantang dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan dan menuntut pelbagai pembaharuan. Antara pembaharuan yang diketengahkan oleh KKI sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini.
Namun demikian, kerajaan British India menganggap bahawa INC hanyalah ‘microscopic minority’ yang tidak perlu diberi perhatian yang berat. Pegangan ini juga dibuktikan melalui kenyataan yang dikemukakan oleh ahli kelab kongres tersebut dalam laman rasmi persatuan ini, sebagaimana yang dikemukakan; kongres ini bertujuan untuk mengawal kesedaran yang mula muncul dalam kalangan masyarakat India, bukan untuk menentang pihak pemerintah.[50] Selain itu, dapat dilihat dengan jelas, dalam laman rasmi pertubuhan ini jelas memaparkan bahawa Indian National Congress (INC) merupakan sebuah parti demokratik terbesar di dunia.  Keadaan ini menunjukkan bahawa parti ini lebih condong ke arah aliran dan fahaman serta pegangan yang bersifat liberal.
 Pendekatan tuntutan dilakukan lebih kepada ucapan, mesyuarat dan petisyen.
Bukti lain yang menunjukkan bahawa parti ini bersifat liberal ialah pendekatan yang digunakan lebih kepada ucapan, masyarakat dan petisyen. Keadaan ini menyatakan dengan jelas bahawa pegangan dan hala tuju mereka berbeza dengan parti radikal atau militan. Sebuah parti yang bersifat ekstrem atau radikal akan menggunakan pendekatan seperti melakukan demonstrasi atau penentangan secara terang dan ‘keras’ sebagaimana idelologi yang pernah dibawa oleh golongan militan di India.[51] Berdasarkan pendekatan yang menjadi pegangan oleh ahli kongres ini, mereka lebih mudah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati melalui ucapan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Presiden INC, Mahatma Ghandi dalam kenyataannya di Ahmedabad pada 18 Mac 1922.[52] Dalam kenyataanya, beliau menyarankan agar masyarkat India bersatu dalam menuntut kemerdekaan India daripada British tanpa mengira bangsa dan agama. Keadaan ini membawa kepada saranan beliau dengan menyeru setiap masyarkat khusunya orang India menyokong gerakan khilafat yang dibawa oleh masyarakat Muslim sebagai lambang kebersamaan. Gerakan Khilafat ini dilihat sebagai satu gerakan kebangsaan yang merangkumi masyarakat Islam dan Hindu. Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut hanya bertahan untuk jangka masa yang singkat. Sokongan Ghandi terhadap Gerakan Khilafat ditarik balik apabila berlaku peperangan antara British dengan Afghanistan dan kebangkitan Moplah.[53]


5.0       KESIMPULAN
            Penubuhan Kongres Kebangsaan India telah berjaya menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat India. Oleh yang demikian, penubuhan ini amat penting dalam proses ke arah berkerajaan sendiri, kemerdekaan dan juga pembentukan sistem kerajaan yang sistematik. Oleh itu, penubuhannya juga memperihalkan pelbagai pembaharuan kepada pembentukan masyarakat India yang seiring dengan pemodenan semasa. Peranan golongan terpelajar dan intelek amat penting dalam perjuangan Kongres Kebangsaan India. Justeru itu, peranan kongres ini juga tidak dapat dinafikan dalam menjana semangat nasionalisme yang bercorak liberal dalam kalangan masyarakat tempatan.



Bibliografi
TSG Muelia, 1949, India, Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, Djakarta: Balai Pustaka
C.H.Phillips, 1966, Sejarah India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
Azharudin Mohd Dali,2004, Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
R. Rajakrishnan & M. Rajantheran, 1994, Pengantar Tamadun India, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Briton Martin, JR., 1969,  New India 1885, California: University of California Press
Santokh Singh Gill, 1986, Constitutionalism, Non-Cooperation and the Indian National Congress before the Second World War, penulisan yang tidak diterbitkan
Jawaharlal Nehru, Editor: Robert I.Crane, 1960, “The Discovery of India”, New York:The John Day Company.Inc
Tay Gaik Yeong, 1966, Mahatma Ghandi’s Role In The Indian Nationalist Movement, Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya



[1] TSG Moelia, 1949, India, Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, Djakarta: Balai Pustaka. Hlm.  111.
[2] R. Rajakrishnan & M. Rajantheran, Pengantar Tamadun India, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1994, hlm. 145.
[3] Azharudin Mohd Dali, Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hlm.295.
[4] Ibid, hlm. 295.
[5] C.H.Phillips, Sejarah India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, hlm. 108.
[6] Azharudin Mohd Dali, Tamadun India, hlm.296.
[7] Ibid.
[8] Ibid, hlm. 304.
[9] Briton Martin, JR.,  New India 1885, California: University of California Press, 1969, hlm. 54.
[10] Ibid.
[11] Briton Martin, JR.,  New India, hlm. 54
[12] Ibid.
[13] Ibid.
[14] Ibid.
[15] Briton Martin, JR., 1969,  New India,  hlm. 56.
[16] TSG Moelia, 1949,  India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, Djakarta: Penerbitan Balai Pustaka, hlm. 112.
[17] Ibid.
[18] Ibid.
[19] Santokh Singh Gill, Constitutionalism, Non-Cooperation and the Indian National Congress before the Second World War, penulisan yang tidak diterbitkan, 1986, hlm. 1
[20] Jawaharlal Nehru, Editor: Robert I.Crane, “The Discovery of India”, New York:The John Day Company.Inc, 1960, hlm 279.
[21] TSG Moelia, 1949, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan”, hlm 162.
[22] Ibid. hlm 163.
[23] Ibid. hlm 163.
[24] Ibid. hlm 172.
[25] Ibid, hlm 163.
[26] Tay Gaik Yeong, 1966, Mahatma Ghandi’s Role In The Indian Nationalist Movement, Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, hlm. 13
[27]TSG Moelia, 1949, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm 162
[28] Tay Gaik Yeong, Mahatma Gandhi Role In The Indian Nationalist Movement, 1966, hlm. 1.
[29] Ibid.
[30] TSG Moelia, 1949, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan,  hlm 164.
[31] TSG Moelia, 1949, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm 174.
[32] Ibid. hlm 174.
[33] Ibid. hlm 140.
[34] TSG Moelia, India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm. 195
[35] Ibid, hlm. 198
[36] Ibid, hlm. 200.
[37] TSG Moelia, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm. 201.
[38] TSG Moelia, 1949, “India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm. 133.
[39] Ibid, hlm. 134.
[40] Setelah bersara, Hume telah memberi perhatian penuh terhadap persoalan politik India yang pada masa itu mendesak untuk diwujudkan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi memperkembangkan dan menyatukan perasaan perpaduan negara tanpa mengira kasta, agama, atau kawasan, membincangkan tuntutan-tuntutan popular dan mengemukakannya kepada kerajaan. Azaharudin Mohd Dali, Tamadun India, Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka,2004,hlm.296. Lihat juga : Penubuhan Kongres Kebangsaan India bermula apabila Allan Octavian Hume berjaya memujuk lima puluh orang mahasiswa Universiti Calcutta untuk bersamanya bagi mengasaskan Kongres Kebangsaan India yang pertama kalinya bermesyuarat di Gokuldas Tejpal Sanskrit College di  Bombay dari 28 hingga 30 Disember 1885. Mesyuarat ini dihadiri oleh 72 orang perwakilan dan wartawan-wartawan. Hanya dua orang sahaja daripada perwakilan tersebut adalah Islam. W. C. Bannerjee dilantik sebagai Yang Dipertua . Lihat Cowen, Robert, Kazamias, Andreas M., Unterhalter, Elaine, Internasional Handbook of Comparative Education, Volume 2. London: Springer, 2009, hlm. 876; Sen, S. N. 2006. History Modern India. New Delhi: New Age Internasional (P) ltd. hlm. 130; Khoo, Gilbert dan Lo, Dorothy,  Asia Dalam Perubahan: Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational books (Asia) LTD. 1978,  hlm. 1203.
[41] Anil Seal,  Kemunculan Nasionalisme India: Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad ke-19, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustak, 1987, hlm. 297.
[42] TSG Moelia, 1949, India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm. 112.
[43] Anil Seal, 1987,  Kemunculan Nasionalisme India: Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad ke-19, hlm. 296.
[44] Azharudin Mohd. Dali, 2004, “Tamadun India”, hlm. 295.
[45] TSG Moelia, 199,  India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan, hlm. 114.
[46] Azharudin Mohd. Dali, 2004,  “Tamadun India”, hlm. 296.
[47] TSG Moelia, 1949,  India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan,  hlm. 116.
[48] Ibid, hlm. 114.
[49]TSG Moelia, 1949,  India: Sejarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan,  hlm. 114.
[50]Dipetik daripada: Indian National Congress : The Largest Democratic Party in the World. http://www.aicc.org.in/new/congress-the-freedom-movement.php. Diperolehi pada: 1 April 2012.
[51] Pengaruh kalangan ektremis dalam INC semakin meluas sejak tahun 1906. Idea perjuangn yang disifatkan sebagai “keras” yang dikemukakan oleh Tilak, Pal dan Lajpat Rai mula menjadi pegangan ahli-ahli INC. demonstrasi mula menjadi medium menunjukkan penentangan terhadap penjajah British. Lihat : Azaharudin Mohd Dali, Tamadun India, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,2004,hlm.299.
[52] Dipetik daripada: History, dalam Indian National Congress : The Largest Democratic Party in the World, http://www.aicc.org.in/new/congress-the-freedom-movement.php. Diperolehi pada: 1 April 2012.
[53] Kebangkitan Moplah merupakan kebangkitan yang dilakukan oleh golongan Moplah dari Malabar  yang kebanyakan terdiri daripada petani. Mereka membantah layanan yang kurang baik daripada tuan tanah yang mereka sewa. Mereka telah menyerang dan membunuh beribu-ribu orang Hindu. Lihat Khoo, Gilbert dan Lo, Dorothy,  Asia Dalam Perubahan: Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia,1978,hlm.1215.